
Assalamualaikum wm wb.
Saya melafazkan syukur kepada Allah swt justeru kejayaan Jabatan Pelajaran Kedah memiliki tapak dan laman webnya sendiri seperti yang saudara dan saudari lihat sekarang ini.
Di dalam zaman digital ini, kita harus peka dan memiliki seberapa banyak maklumat yang mungkin demi mempersiapkan diri kita untuk menempuh cabaran alaf baru. Seiring dengan usaha Kerajaan untuk menjanakan IT sebagai satu budaya baru, maka langkah JPN Kedah untuk turut serta di dunia siber adalah di antara beberapa usaha yang dapat dilakukan untuk menyedarkan masyarakat guru khususnya di negeri ini dan masyarakat seluruh amnya untuk sama-sama menjayakan segala matlamat yang telah digariskan.
Koridor Raya Multimedia atau ringkasnya MSC adalah salah satu projek negara yang menuntut penyertaan seluruh masyarakat dari segenap lapisan. Diharapkan dengan satu permulaan kecil ini, laman web rasmi JPN Kedah ini dapat dijadikan wadah masyarakat untuk mengenal JPN Kedah dengan lebih dekat sekaligus berinteraksi dengan kami melalui kaedah terkini seperti email dan forum. Kami berusaha supaya segala maklumat dan berita dari JPN Kedah berada di hujung jari.
Selepas ini, kita berharap akan lebih banyak sekolah-sekolah di negeri ini akan berusaha membangunkan Laman Webnya sendiri yang melaluinya kita akan memperolehi maklumat sejarah, data-data pendidikan serta berita perkembangan sekolah berkenaan dalam sekelip mata. Dengannya, ia akan menjadikan komunikasi dengan semua pihak lebih mudah dan lebih berinteraktif di dalam kita memartabat satu budaya cemerlang beriringan dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan kualiti ke taraf lima bintang.
Akhirkata saya mengucapkan SYABAS dan TAHNIAH kepada seluruh pihak yang terlibat di dalam pembinaan laman web rasmi JPN Kedah ini.
Wassalam.
Misrah bin Hj. Ibrahim
Pengarah Pelajaran Negeri Kedah.
|